Sabtu, 15 Maret 2014

Sejuta Kanak Kanak Syria Jadi Pelarian


Geneva – Jumlah kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan Syria dan menjadi pelarian akibat peperangan meningkat kepada sejuta orang semalam, manakala dua juta lagi ‘bertaburan’ di sepanjang sempadan negara itu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Jumlah satu juta kanak-kanak ini bukan sekadar satu angka. Mereka adalah kanak-kanak yang diusir cari kediaman, malah kehilangan keluarga dan terpaksa menghadapi kekejaman yang langsung tidak difahami mereka,” kata ketua agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Anthony Lake dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jadi pelarian

Perangkaan PBB menunjukkan bahawa separuh daripada rakyat Syria yang menjadi pelarian adalah kanak-kanak.

Kebanyakan pelarian negara itu mendapatkan perlindungan di Lubnan, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir, namun semakin ramai menuju ke Afrika Utara dan Eropah.

Perangkaan terbaru PBB menunjukkan seramai 740,000 rakyat Syria yang menjadi pelarian berusia kurang daripada daripada 11 tahun.

“Apa yang paling penting ialah keupayaan mereka untuk meneruskan kehidupan dan kesejahteraan generasi yang tidak berdosa,” kata Pesuruhjaya PBB bagi orang pelarian, Antonio Gueterres.

Beliau berkata, generasi muda Syria kehilangan kediaman, anggota keluarga dan masa depan akibat konflik yang tidak berkesudahan.

Malah mereka yang berjaya menyelamatkan diri dengan menyeberangi sempadan dilaporkan trauma, kemurungan dan hilang harapan.

Sementara itu di dalam negara Syria sendiri, lebih dua juta kanak-kanak terpaksa meninggalkan kediaman mereka ketika konflik berubah menjadi perang saudara.

PBB berkata, lebih 100,000 kanak-kanak terbunuh sejak permulaan pemberontakan dan tunjuk perasaan menentang rejim Presiden Bashar al-Assad bermula pada Mac 2011. – AFP

Tidak ada komentar:

Posting Komentar